Friday, April 1, 2011

BENGKEL LUKISAN 'POTRET KITA'

  



Pada 1 April 2011, Bengkel Lukisan 'Potret Kita' telah dijalankan di Dewan Mawar DPP Bank Muamalat dan seramai 50 peserta yang terlibat. Encik Jamaludin Abd Rahman telah dijemput bagi menjayakan bengkel ini di mana beliau merupakan seorang pelukis bebas dan aktif di dalam Persatuan Pelukis Kedah. Bengkel ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Pada permulaannya, En. Din mengajar cara melukis bentuk wajah manusia yang betul. Teknik yang digunakan perlu betul agar potret tersebut tidak kelihatan pelik. Langkah yang paling penting ialah, jarak di antara dua mata bersamaan satu mata. Langkah ini penting bagi menentukan kelebaran potret wajah yang dilukis serta membantu dalam melukis lokasi hidung dan mulut yang kita mahukan.

Selain itu, potret yang dilukis tidak boleh dipengaruhi dengan unsur-unsur lain, iaitu seperti kartun. Hal ini amat penting untuk memastikan potret yang dihasilkan kelihatan benar-benar 'hidup'. Teknik pewarnaan juga amat penting. Perkara pertama yang perlu dititikberatkan adalah arah cahaya. En. Din tidak menggalakkan penggunaan warna hitam semasa mewarnakan kawasan yang gelap. Penggunaan warna hitam akan mencacatkan lukisan semasa ditayangkan di bawah 'spotlight' kerana hitam tersebut akan kelihatan seperti warna kelabu.

Peserta turut diberi peluang untuk mengemukakan soalan. Seorang peserta bertanya mengenai bagaimana untuk melukis badan manusia yang seimbang. En. Din menjelaskan jarak antara tiap anggota boleh dianggarkan menggunakan kepala. Sebagai contoh luas bahu boleh dilukis bersamaan dua kepala. Tips ini benar-benar membantu para peserta. Namun, untuk mempelajari seni lukis, En. Din menyatakan bahawa masa yang lama perlu diambil bagi mendalami selok belok dunia lukisan.

Akhir sekali, banyak yang boleh dipelajari daripada bengkel seperti ini. Bukan sahaja dapat mengasah bakat, tetapi juga membantu peserta-peserta mengetahui teknik-teknik yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah lukisan yang baik dari segi lukisan mahupun pewarnaan. Diharap agar paserta yang terlibat di dalam bengkel ini dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dari bengkel ini di dalam lukisan masing-masing.